Friday, 13 October 2017

ZAID IBRAHIM BERMIMPI DI SIANG HARI


Menyatakan bahawa Lim Kit Siang akan menjadi seorang Perdana Menteri yang lebih baik dari pemimpin dari UMNO jelas memperlihatkan kepincangan pemikiran beliau dengan tidak melihat kepada realiti di Malaysia. Sesiapa pun boleh memberikan cadangan apa pun yang difikirkan kerana tiada larangan di dalam perundangan negara untuk seseorang mencadangkan apa-apa pun termasuk cadangan yang menunjukan kebodohan diri sendiri.

Pandangan atau cadangan tersebut yang lebih kepada untuk menarik perhatian atau kemaruk publisiti murahan sebenarnya jelas menunjukkan tahap pemikiran yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Ini bukan lagi pemikiran atau berfahaman liberal tetapi menjurus kepada aliran songsang d dalam konteks politik Malaysia. Tindakan Zaid ini mengesahkan hasrat sebenarnya ini seumpama parasit dengan secara terangan Kit Siang lebih baik untuk menjadi Perdana Menteri akan datang.

Kembang hidung Kit Siang bila namanya dicanangkan oleh seorang Melayu yang juga ahli DAP sebagai Perdana Menteri. Sama ada Zaid ini merupakan Si Kitul di dalam konteks hari ini atau pun meletakkan dirinya sebagai hamba sahaya terpulanglah kepada maruah peribadinya sendiri. Tindakan beliau ini akan menjadi momokan di masa hadapan ketika itu mungkin beliau tiada lagi di muka bumi ini. Hairan juga kerana beliau lahir di Kota Bharu dan mendapat pendidikan sehingga ke ITM mempunyai pemikiran dan tindakan yang songsang dengan persekitaran beliau ini dibesarkan. Entah apa yang tidak beliau puas hati atau cuba menampilkan diri sebagai golongan melayu elitis seperti mana yang dilakukan oleh Munsyi Abdullah suatu masa dahulu.

Untuk makluman kepada Zaid, UMNO tidak pernah ketandusan barisan pemimpin yang jauh lebih baik daripada apa yang ada di dalam DAP itu sendiri. Sudah berapa orang dari pemimpin kanan UMNO yang dipilih menjadi Perdana Menteri, menjadi Timbalan Perdana Menteri dan barisan kabinet sejak tahun 1957 lagi. Berbanding dengan DAP, hanya mengharapkan kepada seorang itu sahaja dan kini berusaha dengan gigih untuk menbentuk dinasti beliau sendiri di dalam DAP. Parti DAP kini menjadi parti anak beranak sendirian berhad.



Belajarlah dari pengalaman lampau, ketika DAP memiliki pemimpin yang rasional dan memperjuangkan isu-isu rakyat seperti Lim Lam Thye yang akhirnya keluar dari DAP kerana perbezaan pandangan dengan Lim Kit Siang. Kini Lim Lam Thye berada di dalam kedudukannya yang tersendiri di dalam arena politik Malaysia yang tidak memiliki cita-cita menjadikan parti DAP sebagai hak peribadi.

Zaid patut belajar dari sejarah dan sebagai seorang yang terbabit di dalam profesion perundangan, sudah tentu subjek mata pelajaran sejarah beliau perlu lulus. Baru setahun jagung menyertai DAP sudah sanggup menjadi lidah kepada parti tersebut berhabis-habisan.

Lanskap politik Malaysia tidak sama dengan mana-mana negara yang membolehkan seseorang menjadi pemimpin di dalam masyarakat berbilang kaum dengan orang Melayu sebagai majoriti di dalam negara ini. Kalau sanggup menjadi seperti di Indonesia tidak mengapa, mengamalkan satu sistem pendidikan, bertutur bahasa Indonesia dengan fasih dan bersedia memakai baju batik, atau pun di Amerika Syarikat yang mengambil 233 tahun untuk membolehkan seorang bukan kulit putih menjadi Presiden.

Janganlah tidur di siang hari sehingga terkeliru dengan mimpi di siang hari yang merupakan tekanan perasaan sehingga terbawa di dalam mimpi tersebut.




No comments:

Post a Comment